pLaNeT kUchiNg

July 14, 2009

Teknologi bantu bayar tanpa wang tunai

Filed under: koleKSi keRatan aKhbaR, tEknOloGi dALaM keHidUpAn — planetkuching @ 8:58 am

MEMBAWA pembaharuan dalam urusan jual beli, pelbagai aplikasi teknologi moden kini semakin banyak diperkenalkan kepada umum.

Tujuannya adalah supaya semua transaksi tersebut dapat dijalankan dengan mudah dan cepat tanpa melibatkan banyak prosedur.

Antara yang telah dilaksanakan secara meluas adalah seperti penggunaan kad kredit dan juga kad debit untuk aktiviti membeli-belah.

Terbaru, beberapa syarikat tempatan pula telah mula memperkenalkan medium baru untuk urusan transaksi menerusi sentuhan gajet dan juga menggunakan kad pengenalan MyKad.

Melalui kemudahan teknologi yang ditawarkan MyKad, implementasinya disasarkan untuk membantu golongan kurang berkemampuan memenuhi keperluan asas dalam kehidupan seharian mereka.

Dikenali sebagai MyKasih, ia merupakan program kebajikan pengagihan bantuan tanpa tunai sebagai usaha mengurangkan beban yang ditanggung oleh golongan susah.

Menerusinya, penerima bantuan boleh membeli barangan keperluan harian hanya menggunakan pengecaman cip pada MyKad mereka mengikut had nilai yang telah ditetapkan.

Program bantuan amal dan kebajikan berkenaan sebenarnya mengetengahkan perkhidmatan pembayaran elektronik moden yang lancar, efektif dan telus.

Ia telah diperkenalkan oleh sebuah syarikat teknologi maklumat (IT), ePetrol Holding Sdn. Bhd. dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ePetrol Holding Sdn. Bhd., Ngan Boon Keat, teknologi tersebut bukan program kebajikan biasa, sebaliknya ia mempunyai keunikan dari segi proses bantuan yang disampaikan.

“Operasi MyKasih digerakkan menggunakan kelebihan IT yang terdapat pada dokumen pengenalan diri semua rakyat Malaysia iaitu MyKad.

“Dengan cara ini, ia mempunyai kelebihan untuk berfungsi sebagai kad debit ketika berbelanja di samping mengetengahkan sistem sekuriti yang efisien,” katanya pada pelancaran program tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Proses pendaftaran MyKasih cukup mudah iaitu penerima bantuan hanya perlu mendaftar secara dalam talian bagi mendapatkan nombor pengenalan diri (PIN) tanpa melibatkan pengisian sebarang borang.

Melalui program itu, akaun penerima bantuan akan dikreditkan dengan sejumlah nilai untuk membolehkan mereka berbelanja di beberapa kedai runcit terpilih tanpa mengunakan transaksi tunai.

Sebagai permulaan, sebanyak 25 keluarga dari kawasan Selayang telah dipilih untuk menyertai projek perintis MyKasih pada Disember tahun lalu.

Bagi tujuan itu, mereka boleh menggunakan MyKad masing-masing untuk membeli barangan keperluan dari kedai serbaneka di stesen minyak Caltex di Selayang.

Pembayaran canggih

Pada April lalu, seramai 40 lagi keluarga yang kurang berkemampuan dipilih untuk menyertai MyKasih hasil kerjasama daripada beberapa agensi kebajikan.

“Kesemua keluarga yang dipilih ini telah ditentukan kelayakannya oleh beberapa pertubuhan kebajikan berdasarkan pemantauan yang telah mereka lakukan,” katanya.

Setiap keluarga akan diberikan nilai kredit sebanyak RM20 seminggu untuk membeli barangan runcit dan keperluan rumah.

Untuk tujuan keselamatan pula, mereka akan dilengkapkan dengan nombor PIN yang perlu mereka sertakan ketika membuat pembayaran di kaunter.

Selain itu, pihak ePetrol juga akan menjalankan proses mengaudit sistem berkenaan bagi mengenalpasti pola perbelanjaan dari segi jenis barang yang dibeli, diskaun yang diberikan selain menilai keupayaan aplikasi sistem MyKasih itu sendiri.

Bagi mendedahkan para penerima bantuan tentang cara terbaik mengendalikan bajet kewangan yang diberi, terdapat kakitangan dan pihak sukarelawan yang akan memberikan perkhidmatan kaunseling serta latihan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MDeC, Datuk Badlisham Ghazali berkata, program kebajikan MyKasih merupakan satu lagi contoh kemudahan yang memperluaskan aplikasi MyKad.

“Dengan teknologi ini, ia tentunya menawarkan banyak kemudahan dan kelebihan kepada masyarakat di samping menyentuh dengan lebih spesifik sesuatu elemen dalam komuniti.

“Apa yang diharapkan, lebih banyak aplikasi berguna akan dibangunkan dengan platform MyKad ini,” katanya.

Menurutnya lagi, selain kedai serbaneka di stesen minyak, aplikasi berkenaan akan turut diperluaskan ke 7-Eleven, pasar raya dan juga kios.

Seorang penerima bantuan, Che Aminah Mior Mohd. Ramli, 54, berpendapat, program MyKasih meringankan beban yang perlu ditanggung untuk menyara dua orang anak setelah beliau kehilangan suaminya.

“Bantuan yang diberikan ini akan saya gunakan dengan baik untuk membeli barangan keperluan rumah seperti makanan kering.

“Operasinya juga mudah kerana tidak melibatkan wang tunai. Dengan menggunakan MyKad sahaja, urusan pembelian boleh dilaksanakan,” jelasnya.

Di samping MyKasih, terdapat satu lagi perkhidmatan pembayaran canggih yang diperkenalkan oleh peneraju operator rangkaian telekomunikasi, Maxis Communication Berhad (Maxis).

Dikenali sebagai Maxis FastTap, ia menawarkan medium pembayaran menerusi sentuhan telefon bimbit yang diintegrasikan bersama perkhidmatan utiliti teknologi, Near Field Communication (NFC).

Sebagai sistem pembayaran mobiliti pelbagai yang pertama di Malaysia, Maxis turut menjalankan kerjasama dengan beberapa syarikat untuk pelbagai perkhidmatan komersial lain.

Ia termasuk Nokia, pembayaran kad kredit menggunakan Visa payWave, perkhidmatan Maybank serta pembayaran kad elektronik Touch ‘n Go.

Inovasi terbaik

Ia juga merupakan perkhidmatan NFC yang pertama di dunia menawarkan ciri paparan maklumat kad kredit pada rangkaian operator perkhidmatan mobiliti melalui antaramuka Trusted Service Manager.

Pelancaran Maxis FastTap itu sekali gus membenarkan pengguna Maxis FastTap yang menggunakan telefon bimbit klasik Nokia 6212 membeli barangan dan perkhidmatan secara mobiliti di lebih daripada 1,800 lokasi perdagangan Visa payWave serta membayar menggunakan kad Touch ‘n Go di 3,000 pusatnya di seluruh negara.

Menurut Naib Presiden Kanan Maxis, Nikolai Dobberstein, pelancaran perkhidmatan terbaru Maxis itu melambangkan pencapaian dan usaha berterusan pihaknya untuk membawa inovasi terbaik kepada pengguna telefon bimbit di Malaysia.

“Pelaksanaan sistem ini secara komersial menerusi kerjasama dengan beberapa syarikat peneraju dalam bidang masing-masing tentunya bakal memberi kelebihan dalam aplikasi mobiliti moden kepada pengguna.

Ia merupakan teknik pembayaran canggih untuk mempermudahkan pelbagai urusan,” katanya pada pelancaran perkhidmatan tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dari segi penggunaan teknologi Visa payWave mobiliti, ia merupakan perkhidmatan yang pertama di Malaysia dengan tawaran manfaat dan kemudahan yang sama seperti menggunakan kad kredit.

Dengan kemudahan itu, pengguna kini boleh membeli-belah hanya menggunakan telefon bimbit untuk pembayaran mudah sehingga nilai maksimum RM150.

Bagi urusan di Maybank pula, ia akan memudahkan operasi seperti perkhidmatan kewangan mobiliti, Maybank2u dan tambah nilai kad kredit Maybank.

Melalui Maxis FastTap juga, perkhidmatan kad Touch ‘n Go semakin dipertingkatkan di mana ia boleh digunakan di tol, kenderaan awam, ruang letak kereta, taman tema dan juga beberapa kedai runcit terpilih.

Kesemua perkhidmatan itu kini ditawarkan bersama telefon bimbit Nokia Klasik 6212 yang dilengkapi terminal binaan bersama cip NFC untuk tujuan transaksi pembayaran dan juga keselamatan.

July 12, 2009

100 HARI

Filed under: koleKSi keRatan aKhbaR — planetkuching @ 3:55 am

Transformasi 100 hari Najib

 

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my

 

SUDAH menjadi kelaziman, setiap kali berlakunya peralihan tampuk pemerintahan di mana-mana negara sekali pun, 100 hari pertama pemimpin baru disorot dengan penuh perhatian. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga tidak terkecuali.

Mengambil alih pemerintahan negara secara rasmi daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi sebaik mengangkat sumpah pada 3 April lalu, Najib melengkapkan perjalanan 100 hari beliau hari ini.

Logiknya, tidak banyak yang boleh diperkatakan dalam tempoh sesingkat itu. Apatah lagi untuk menyorot sumbangan dan perubahan dalam urusan pentadbiran sesebuah negara.

Namun 100 hari Najib adalah sesuatu yang menarik untuk diperhatikan memandangkan beliau mengambil tampuk pemerintahan ketika negara bergelut dengan asakan dalaman dan luaran.

Najib berdepan dengan senario politik domestik yang tidak menentu dan paling ketara krisis keyakinan serta kepercayaan yang parah terhadap BN.

Iklim ekonomi negara juga berada dalam keadaan tidak menentu kesan krisis kewangan global yang melanda sejak awal tahun lalu. Semua itu menjadi cabaran yang besar kepada Najib sepanjang 100 hari pentadbirannya.

Bagaimanapun, pengalaman selama kira-kira 32 tahun dalam pentadbiran negara ternyata mematangkan Najib.

Dengan meletakkan kepentingan rakyat dan negara paling hadapan, Najib membuktikan beliau seorang pemimpin yang berani menongkah arus.

Dalam memperlahankan suara-suara lantang segelintir pihak yang cuba membuat tuntutan di luar batasan, Najib melontarkan sebuah gagasan yang menepati definisi setiap rakyat Malaysia tanpa membezakan warna kulit, keturunan, agama dan latar belakang.

Gagasan Satu Malaysia adalah sebuah manifestasi yang unik kerana ia tidak memberi ruang kepada kecacatan matlamat dan objektif sesebuah kerajaan.

Gagasan Satu Malaysia juga menyediakan penyelesaian kepada isu dan masalah domestik terutama yang berkaitan dengan rakyat.

Meletakkan perkataan Rakyat Diutamakan sebelum Pencapaian Diutamakan, melambangkan fokus pentadbiran negara di bawah Najib.

Beliau sangat maklum bahawa perpaduan rakyat adalah kunci utama dalam mencapai kemajuan politik, ekonomi dan sosial lebih-lebih di negara dengan masyarakat berbilang bangsa seperti Malaysia.

Melihat gerak kerja jentera kerajaan Najib seperti bentuk sebuah piramid, pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Dungun, Terengganu, Asri Salleh menilai Perdana Menteri cuba merealisasikannya dengan agresif tetapi tersusun.

Menurut beliau, dari sudut pentadbiran, Najib bermula dengan tahap paling atas dalam pentadbiran iaitu di peringkat Menteri dan Kementerian masing-masing.

Penekanan terhadap keperluan dan kepentingan jemaah Kabinet untuk memenuhi tuntutan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) dan Bidang Keputusan Utama (KRA) secara jelas menunjukkan Najib mahu jenteranya benar-benar bekerja.

Soal perpaduan turut menjadi perhatian apabila Najib memperkenalkan beberapa langkah drastik tetapi populis.

Antaranya dengan menghapuskan dasar (PPSMI). Keputusan itu dilihat sebagai langkah mendengar keluhan rakyat apabila dasar yang diamalkan sejak 2003 itu mendapat reaksi negatif daripada banyak pihak.

Selain itu, dalam memenuhi keperluan tajaan pendidikan untuk pelajar cemerlang daripada semua kaum, Najib melancarkan Biasiswa Nasional.

”Dalam isu ini, Najib mengguna pakai dasar pembesaran saiz biasiswa negara yang mana tambahan biasiswa diwujudkan tanpa menghapuskan kategori biasiswa sedia ada,” ujar Asri.

Blog peribadi dan Bank Idea Rakyat yang dilancarkan Najib juga dilihat sebagai salah satu pembaharuan pentadbiran Najib dalam mendekati generasi muda.

Najib juga mengambil pendekatan turun padang dalam mendalami masalah serta keperluan rakyat secara lebih dekat.

Walaupun langkah ini bukanlah sesuatu yang baru, namun ia meninggalkan kesan psikologi yang mendalam di kalangan rakyat terhadap corak kepimpinan sebenar Najib.

100 hari pentadbiran Najib turut menyaksikan pembaharuan dan transformasi parti Barisan Nasional khususnya UMNO dan iklim politik negara.

Melalui transformasi parti, Najib memperkenalkan beberapa langkah holistik untuk menjamin ketelusan dan membasmi gejala rasuah.

Antaranya dengan memperkenalkan draf cadangan konsep pemilihan dan pindaan perlembagaan UMNO.

Turut dicadangkan ialah penggantian sistem kuota dengan kriteria calon dan usul membenarkan 2.3 juta ahli UMNO memilih Ahli Majlis Tertinggi secara langsung.

Dalam transformasi politik negara pula, Asri menyorot pendekatan mesra yang diamalkan Najib terhadap parti pembangkang.

Menurut beliau, matlamat Najib menerusi pendekatan itu dapat dilihat bertujuan melahirkan satu iklim politik bipartisan yang matang.

Walaupun ia tidak mungkin dapat bertahan lama, Najib sekurang-kurangnya memperlihatkan imej yang tidak jumud.

Ia juga mungkin boleh membawa kepada permulaan sama ada positif atau negatif kepada BN khususnya UMNO pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

”Saya kira ia juga dapat membantu menenangkan hati dan perasaan rakyat bahawa politik di negara ini adalah sesuatu yang sangat stabil dan selamat,” ujar beliau.

Dari sudut ekonomi pula, dasar-dasar liberalisasi ekonomi yang diperkenalkan sepanjang 100 hari pentadbiran Najib dapat dilihat menjurus ke arah usaha membina sebuah model ekonomi baru.

Ia antara lain bertujuan memenuhi dua keperluan asas masyarakat ekonomi iaitu ahli perniagaan, pelabur, pekerja dan semestinya rakyat kebanyakan.

Dua dasar itu ialah keperluan dari sudut psikologi serta material ekonomi. Menjelaskan lebih lanjut, Asri berkata, keperluan psikologi ekonomi itu dicapai melalui faktor kestabilan dasar.

Ia merupakan faktor penyumbang yang menjadi perhatian utama komuniti perniagaan tempatan dan antarabangsa.

Pentadbiran Najib tampak rensponsif dengan keperluan psikologi ekonomi negara apabila tidak memperkenalkan perubahan drastik terutama dalam jentera pentadbiran kewangan negara.

”Sebagai contoh pengekalan Tan Sri Mohamad Nor Yaakop sebagai Menteri Kewangan Kedua sebenarnya amat penting dalam memenuhi keperluan psikologi kestabilan dasar ini,” ujar beliau.

Dari sudut keperluan material ekonomi pula, Najib sepanjang 100 hari pentadbirannya telah memperkenalkan beberapa instrumen fiskal dan melancarkan polisi ekonomi negara yang menarik.

Antaranya menerusi penubuhan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas), transformasi berterusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pengurangan bidang kuasa Pelaburan Asing (FIC).

Pengenalan model ekonomi baru ini antara lain bertujuan menarik dan menjana pelaburan luar terutama dari China dan negara-negara Timur Tengah.

Ia juga memberi peluang kepada ahli perniagaan tempatan merebut peluang ekonomi yang bebas dan terbuka luas.

Asri menambah, suntikan kepada ekonomi itu juga dapat meningkatkan daya saing komuniti perniagaan bumiputera untuk menjadi lebih kompetitif dan lebih berdaya saing.

Ia juga merupakan persediaan kepada komuniti ekonomi tempatan sementelah ASEAN juga akan mula mengamalkan liberalisasi ekonomi ASEAN-6 sepenuhnya pada tahun depan.

Namun sesuatu yang pasti tambah Asri, transformasi ekonomi yang diperkenalkan Najib itu bertujuan mempersiapkan negara untuk berdepan dengan cabaran globalisasi dan keterbukaan ekonomi pada masa depan.

”Paling utama, Najib sebenarnya mengamalkan pendekatan ekonomi yang memperbesarkan lagi saiz kek ekonomi negara untuk dikongsi secara saksama oleh semua kaum,” ujar beliau.

Rangkuman serba ringkas dasar-dasar dan pendekatan yang diperkenalkan Najib sepanjang 100 hari pentadbiran beliau itu secara tidak langsung memberi gambaran hala tuju pentadbiran beliau pada masa depan.

Selepas meletakkan kepentingan kepada isu-isu domestik seperti ekonomi, pentadbiran dan pendidikan, dasar-dasar baru dalam hari-hari mendatang adalah sesuatu yang menarik untuk dijangkakan.

Bagi Asri, antara yang perlu diberi perhatian oleh Najib ialah aspek perhubungan antarabangsa. Tidak dinafikan Najib mengambil langkah pantas apabila membuat lawatan rasmi ke negara jiran Indonesia serta negara yang pesat membangun, China.

Namun, lawatan itu dilihat tidak memadai dalam konteks memperkenalkan Malaysia sebagai sebuah negara berpengaruh dalam peta dunia.

Kerana itu juga Asri melihat, Najib perlu menyatakan pendirian yang lebih jelas dalam beberapa isu rutin antarabangsa.

Antaranya dalam konflik di Palestin, senjata nuklear Korea Utara dan isu Myanmar yang harus diterjemahkan atau diberi nafas baru oleh Najib.

Lawatan ke negara-negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Eropah Barat juga perlu diberi perhatian utama.

”Najib harus mula melangkah ke ‘luar’ dengan kekerapan yang lebih daripada sekarang. Ini penting untuk memastikan Malaysia kekal dalam radar global dan dihormati masyarakat antarabangsa,” ujar Asri.

DIPETIK DARI UTUSAN MALAYSIA 11 JULAI 2009 OLEH Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my

May 25, 2009

Antara pesimis, optimis dan realis

Filed under: koleKSi keRatan aKhbaR — planetkuching @ 6:01 am

PENYAIR dan pengarang buku Fountains of Faith, William Arthur Ward pernah menulis, “Seorang pesimis merungut mengenai angin, seorang optimis mengharapkan angin akan berubah haluan tetapi seorang realis menyesuaikan bahteranya dengan keadaan angin.”

Kata-kata hikmat ini kelihatan ringkas dan mudah. Tetapi di sebalik mudahnya kata-kata itu, ternyata sukar untuk diamalkan dalam pelbagai galur hidup.

Antara seorang pesimis, optimis dan realis sememangnya sangat berbeza cara bertindak dan mencari kemanfaatan daripada sesuatu keadaan yang berlaku kepada diri dan dunia yang digaulinya.

Saya teringat kembali kata-kata Ward ini apabila menghadiri Perhimpunan Penulis Muda Malaysia yang berakhir di Puteri Resort, Melaka semalam.

Antara yang dibangkitkan dalam perhimpunan yang dihadiri oleh hampir 150 penulis muda itu ialah kekangan yang menghalang mereka berkarya. Karya dalam konteks perhimpunan ini ialah menghasilkan novel, cerpen dan puisi.

Apabila timbul masalah kekangan atau halangan yang menyekat kebebasan berkarya, apakah jalan penyelesaian paling bijak yang harus diambil oleh penulis khususnya yang baru melangkah ke bidang penulisan?

Adakah mereka perlu duduk menunggu kebebasan berkarya menjelma di depan mata atau mencari jalan bijaksana untuk sampai ke pulau impian dan bahtera tidak karam dipukul gelombang?

Dalam satu forum yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur hampir 10 tahun lalu, Tokoh Wartawan Negara, Allahyarham Tan Sri Samad Ismail pernah berkata: “Pada zaman penjajah Jepun, kalau silap tulis atau memberikan kesan kepada Jepun, hukumannya pancung kepala.”

Kata-katanya itu sebagai reaksi kepada beberapa panel sebelumnya yang menganggap kebebasan berkarya di negara ini ketika krisis politik 1998 sudah tiada.

Saya tidak pasti berapa banyak karya kreatif yang dilarang ditunjukkan kepada khalayak ketika krisis politik itu. Tetapi jawapan Samad cukup jelas bahawa pada zaman Allahyarham berjuang menggunakan karya kesusasteraan, langsung tidak ada kebebasan berkarya.

Bagaimanapun, Samad dan ramai rakan sasterawan lain terus berkarya dan mencari jalan untuk melepaskan diri daripada diambil tindakan oleh penjajah.

Barangkali Samad seorang realis yang menggunakan kebijaksanaan untuk menyampaikan maksudnya dengan cara yang tidak disedari oleh penjajah. Sama seperti realis yang dikatakan oleh Ward, menyesuaikan bahtera dan bukan menyalahkan angin. Dalam kata lain, untuk menjadi seorang penulis, Samad bukan saja perlu bijak berkarya tetapi juga mempunyai kepintaran untuk melepasi kekangan.

Halangan berada di mana-mana. Memanglah kerajaan tidak wajar membunuh kebebasan berkarya atau bersuara. Tetapi penulis khususnya golongan muda tidak perlu menunggu kekangan itu hilang baru mereka hendak berkarya. Mereka mesti terus berkarya tanpa terikat dengan kekangan sama ada oleh undangundang dan sebagainya.

Penulis muda tidak boleh berjiwa kecil dan mudah kecewa dengan rintangan kerana mereka sewajarnya bukan seorang pesimis atau optimis.

Mereka mesti menjadi seorang realis yang terus berusaha mencari laluan untuk sampai ke destinasi tanpa melukakan telapak kaki atau membahayakan diri.

Di negara-negara yang lebih kecil ruang kebebasan pun, penulisnya berjaya menghasilkan karya yang hebat. Pastinya mereka bukan seorang pesimis.

April 25, 2009

Jangan permainkan demokrasi dan emosi rakyat

Filed under: koleKSi keRatan aKhbaR — planetkuching @ 10:32 am

 

IMPIAN menjadi seorang yang bergelar Yang Berhormat (YB) bagi sesuatu kawasan sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen sememangnya idaman ahli-ahli politik.

Malah kerana berebut tempat itu juga, kita dapat menyaksikan pelbagai perbalahan berlaku tidak kira dalam parti manapun sama ada kerajaan atau pembangkang.

Seharusnya apabila seseorang itu menjadi YB, dalam keadaan apa sekalipun, beliau harus menumpukan sepenuh perhatian dan tenaganya untuk berkhidmat kepada rakyat yang memberikan amanah kepadanya.

Ini kerana ketika berkempen, segala strategi digunakan bagi menarik sokongan malah emosi rakyat dimainkan dengan hasrat memastikan kemenangan seseorang calon. Tetapi malangnya, apabila sudah menang, sekali lagi pilihan raya terpaksa diadakan.

Kalau kerana sakit tenat atau meninggal dunia, ia alasan yang sudah pasti boleh diterima kerana itu di luar kawalan manusia. Namun bagaimana kalau seseorang itu sengaja meletak jawatan tanpa alasan munasabah seperti di Penanti atau sebelum ini di Parlimen Permatang Pauh? Bukankah ini satu tindakan yang bertujuan mempermainkan demokrasi?

Dalam situasi di Penanti atau Permatang Pauh, demokrasi membenarkan pilihan raya diadakan tetapi persoalannya wajarkah seseorang yang sengaja meletak jawatan itu dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan?

Sedangkan akibat perbuatannya itu, jutaan ringgit lagi wang rakyat terpaksa digunakan bagi melunaskan tuntutan demokrasi yang dipermainkan itu. Lebih menyakitkan hati, ketika orang lain turun berkempen bermatimatian ketika pilihan raya kecil diadakan, bekas wakil rakyat terlibat bersenang-lenang di luar negara.

Justeru sudah sampai masanya, tindakan lebih tegas dikenakan kepada mana-mana wakil rakyat yang meletak jawatan tanpa alasan yang kukuh.

Mungkin ada pihak berhujah, parti yang menganggap pilihan raya kecil itu sebagai satu pembaziran tidak perlu bertanding. Tetapi persoalannya apa pula jaminan bahawa selepas ini mereka juga tidak akan mempermainkan demokrasi dengan mengarahkan wakil rakyat yang lain meletak jawatan? Adakah semuanya sekadar untuk menguji populariti sesebuah parti?

Oleh itu, adalah wajar satu peraturan yang lebih keras dikenakan. Ini termasuklah mengkaji kemungkinan mengharamkan wakil rakyat yang meletak jawatan daripada bertanding semula sampai bila-bila. Ketika ini hukuman yang ada setakat tidak dibenarkan bertanding lima tahun atau sepenggal.

Sememangnya kita akui senario politik negara kini sudah berubah. Malah sokongan kepada pembangkang juga bertambah tetapi ini bukan bermakna mereka boleh mempermainkan demokrasi dengan sewenang-wenangnya.

Kalau benar berjuang untuk rakyat, mereka tidak akan merelakan mana-mana wakil rakyat meletak jawatan sewenang-wenangnya. Ini kerana ia mendatangkan banyak masalah terutamanya menyusahkan hidup rakyat di kawasan terlibat.

parlimen_building1

Kita memahami selepas memenangi beberapa pilihan raya kecil sebelum ini, keyakinan pembangkang semakin bertambah. Malah berikutan perubahan pucuk pimpinan negara, pembangkang terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR) – yang pemimpinnya begitu bercita-cita menjadi Perdana Menteri – ingin membuktikan teori songsang mereka bahawa kepimpinan negara ditolak rakyat.

Kemenangan di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, belum mampu “memuaskan nafsu” politik mereka, apatah lagi ia diadakan ketika pucuk pimpinan negara baru bertukar tangan. Oleh itu, mereka mahu membuktikan kononnya kepimpinan itu ditolak justeru apabila ada peluang untuk mengadakan pilihan raya, maka ia digunakan sepenuhnya.

Pembangkang tidak akan memikirkan kesannya kepada negara, apatah lagi dalam suasana ekonomi sekarang. Bagi mereka semua itu tidak penting, apa yang lebih mustahak mereka ingin terus bermain politik sehinggalah Pilihan Raya Umum Ke-13 diadakan.

“Kegilaan” seumpama ini harus dihentikan kerana ia menyebabkan demokrasi dan emosi rakyat dipermainkan. Mereka sekali lagi akan diadu domba pada pilihan raya hanya semata-mata kerana hendak mengisi satu kekosongan wakil rakyat.

Semua ini adalah babak-babak membosankan. Oleh itu ketegasan kerajaan adalah perlu dalam soal ini. Kerajaan perlu berani mencadangkan pindaan ke atas undang-undang pilihan raya bagi menyekat kerusi mana-mana DUN atau Parlimen daripada dikosongkan atas motif politik.

Tidak kisahlah apa pun tafsiran pembangkang tetapi kepentingan rakyat dan usaha menyelamatkan wang negara adalah lebih penting, justeru laksanakanlah.

Jangan biarkan demokrasi di negara ini terus diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak atas nama kebebasan.

kiSaH CikgU mAriaM

Filed under: koleKSi keRatan aKhbaR — planetkuching @ 9:04 am

Maryam, guru kelas Tadika menganjurkan satu permainan yang sungguh menarik untuk murid-muridnya. Setiap murid diminta membawa beg plastik yang berisi pisang yang tertulis nama orang yang paling mereka benci ke kelas pada esok hari. Jadi, jumlah pisang yang perlu dibawa bergantung kepada jumlah orang yang dibenci.

Keesokan harinya, setiap murid membawa beg plastic berisi pisang masing-masing. Ada yang membawa tiga biji, ada juga lima biji dan paling banyak lapan biji. Semuanya sudah ditulis nama orang yang paling mereka benci.

“Sekarang simpan pisang tu. Jangan lupa bawa ke mana sahaja kamu pergi selama seminggu. Inilah permainannya. Selepas seminggu, kita akan tahu keputusannya” beritahu Cikgu Maryam. Kanak-kanak tersebut menyimpan pisang masing-masing di dalam beg.

Hari demi hari berlalu, pisang tersebut mula berbintik-bintik dan akhirnya menjadi busuk . Kanak-kanak itu mula merungut dan marah. Mereka tidak menyukai permainan itu lagi kerana selain beg berat, badan berbau busuk. Ada yang menangis, enggan meneruskan permainan.

Seminggu berlalu, pagi-pagi lagi murid-murid Maryam sudah bersorak. Permainan sudah tamat. Tidak ada lagi beban dan bau busuk yang perlu dibawa.

“Okey semua, apa rasanya bawa pisang dalam beg ke sana ke mari selama seminggu?” tanya Cikgu Mayam. Semuanya serentak mengatakan mereka benci permainan itu. Mereka hilang kawan, sering diejek dan terpinggir. Lebih teruk lagi, terpaksa tidur, makan, mandi, bermain dan menonton TV dengan bau busuk.

“Itulah sebenarnya yang berlaku kalau kita simpan perasaan benci pada orang lain dalam hati. Bau busuk kebencian itu akan mencemari hati dan kita akan membawanya ke mana saja kita pergi. Jika kamu sendiri tidak boleh tahan dengan bau pisang busuk hanya untuk seminggu, cuba bayangkan apa akan jadi kalau kamu simpan kebencian sepanjang hidup kamu” beritahu Cikgu Maryam.

Maryam mengingatkan anak muridnya supaya membuang jauh-jauh perasaan benci daripada membebani hidup. Kemaafan adalah yang terbaik. Menyayangi lebih baik darpada membenci. Moralnya, jangan letak pisang dalam beg. Jangan simpan kebencian, dendam kesumat dan apa-apa yang mazmumah dalam hati. Macam pisang yg makin membusuk, begitu juga hati.

April 23, 2009

Memberi makna kepada buku

Filed under: koleKSi keRatan aKhbaR — planetkuching @ 7:41 am

Memberi makna kepada buku

 

IBARAT lautan luas yang tidak berpenghujung untuk diteroka, begitulah juga lautan ilmu yang dimiliki oleh sebuah buku. Menerusi buku, kita diajak berkelana ke sebuah dimensi kehidupan dan pemikiran yang sepenuhnya berbeza. Buku juga menghidupkan semula tokoh-tokoh silam dan membina kembali tamadun lampau untuk dijelajahi.

Begitulah hebatnya peranan sebuah buku yang diberikan sambutan khusus hari ini sebagai Hari Buku Sedunia. Sedikit mengenai latar belakang Hari Buku Sedunia, sambutannya setiap 23 April adalah bersempena mengingati penulis tersohor dunia iaitu William Shakespeare dan Miguel deCervantes. Kedua-dua mereka meninggal pada 23 April 1616. Shakespare juga dilahirkan pada 23 April 1564.

Bagaimanapun, sambutan hari buku dikatakan bermula lebih awal iaitu daripada tradisi masyarakat Catalan di Barcelona, Sepanyol yang meraikan Festival of the Rose. Pesta yang dikaitkan dengan pengorbanan kasih sayang itu menyaksikan pasangan kekasih bertukar sekuntum bunga mawar dengan sebuah buku.

Turut disambut pada tanggal yang sama seperti yang diisytiharkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) ialah Hari Hak Cipta. Di kebanyakan negara seperti Jepun, India, China dan United Kingdom, Hari Buku Sedunia adalah sambutan yang dinanti-nantikan oleh masyarakatnya. Ia merupakan hari untuk khalayak pembaca memberi penghormatan tertinggi kepada pemikiran yang diterjemahkan menerusi penulisan buku.

Mengambil contoh negara jiran Indonesia, Hari Buku Sedunia tidak pernah dibiarkan berlalu dengan pengisian yang kosong. Perkara itu bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana masyarakat Indonesia sememangnya terkenal sebagai sebuah komuniti dunia yang sangat mengagungkan buku. Kerana itu juga Indonesia tidak pernah sunyi daripada melahirkan buku-buku yang dianggap sebagai karya agung dan diperdebatkan dengan meluas oleh masyarakatnya.

Budaya mengagungkan buku di kalangan penduduk Indonesia juga menjadikan negara itu sebagai salah sebuah pusat penterjemahan buku terbesar selain India. Kebanyakan buku antarabangsa yang diiktiraf terbaik boleh didapati dengan mudah di negara berkenaan. Usaha penterjemahan yang sangat aktif itu membolehkan cabang ilmu dari seluruh dunia berkembang dengan pantas di Indonesia.

Keadaan agak berbeza di negara kita apabila amalan membaca dan membudayakan buku tidak begitu mendapat perhatian. Ia terbukti apabila tidak ramai di kalangan kita yang menyedari adanya sambutan Hari Buku Sedunia. Waima di kalangan mereka yang mengaku sebagai pencinta buku sekali pun. Bukan tiada usaha dilakukan untuk meraikannya, namun sokongan dan penglibatan daripada masyarakat agak hambar.

Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) misalnya, tidak pernah terkecuali menganjurkan pelbagai aktiviti dalam menyemarakkan sambutan tersebut. Seperti yang berlangsung di PNM hari ini, Hari Buku Sedunia dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti kempen galakan membaca dan sebagainya.

Negara juga tidak pernah ketandusan penggiat yang boleh merancakkan industri penulisan dan penerbitan buku. Di kalangan penerbit misalnya, terdapat tidak kurang daripada 150 buah syarikat yang mengeluarkan buku secara aktif setiap tahun. Begitu juga dengan penulis berbakat yang saban tahun melahirkan buku-buku yang mencerminkan ketinggian pemikiran dan penguasaan kesusasteraan yang membanggakan.

Namun, disebabkan masyarakat kita agak asing dengan dunia buku, penulis berbakat besar itu hanya bersinar di dalam kelompok yang kecil sahaja. Tanpa perhatian dan penglibatan daripada orang ramai, keinginan penulis serta penerbit untuk menghasilkan buku turut terbantut. Ia secara tidak langsung memberi kesan kepada usaha membudayakan masyarakat berilmu menerusi medium pembacaan.

Dalam masa yang sama, negara juga berdepan dengan cabaran untuk mencapai hasrat menerbitkan sekurang-kurangnya satu judul buku bagi setiap 1,000 penduduk.

Bagi mencapai hasrat itu, negara perlu menerbitkan kira-kira 26,000 judul buku. Ia merupakan pertambahan lebih tiga kali ganda daripada jumlah penerbitan buku yang berjumlah kira-kira 6,000 hingga 7,000 ketika ini.

Bagaimanapun kita perlu positif bahawa sasaran itu bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai. Di peringkat kerajaan dan swasta misalnya, usaha membudayakan masyarakat yang cintakan buku itu didokong oleh pelbagai agensi. Antaranya Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Majlis Industri Buku Malaysia (MBIC) dan Persatuan Penerbit Buku Malaysia (PPBM).

Turut terbabit secara langsung dalam usaha memperkayakan penerbitan buku ialah Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) yang sehingga kini sudah menterjemahkan kira-kira 900 judul buku.

Sementelah aliran pembacaan di kalangan masyarakat juga menunjukkan peningkatan minat yang menggalakkan. Daripada pengamatan sewaktu mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ketika ini, dapat disimpulkan bahawa kita sebenarnya tidak ketandusan masyarakat yang cintakan buku. Kerana itu juga PBAKL masih mampu bertahan sehingga ke hari ini, iaitu pada tahun ke-28 usia penganjurannya.

Namun, dalam memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan penerbitan buku, ia juga perlu seiring dengan usaha memberi makna kepada buku tersebut. Ilmu yang terkandung di dalam sebuah buku tidak membawa erti jika ia gagal menarik pembaca untuk menghargainya. Kerana itu juga, penggiat industri buku perlu seiring dengan perubahan minat dan selera pembaca hari ini.

Antaranya ialah usaha mengkomersialkan sesebuah buku. Pengkomersialan di sini bukanlah bermaksud kecenderungan untuk menerbitkan novel-novel remaja atau buku berunsur politik yang popular.

Tetapi bagaimana untuk memberikan nafas yang lebih segar kepada sebuah buku yang diterbitkan. Apa yang diperhatikan, kebanyakan buku yang diterbitkan seolah-olah bukan bertujuan untuk dipasarkan.

Tiada nilai-nilai popular dan komersial yang boleh menarik pembaca menjadikan buku tersebut sebagai koleksi peribadi. Keadaan itu lebih ketara di kalangan penerbit institusi pengajian tinggi (IPT) yang seperti mendokumenkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan oleh saintis.

Lalu terhasillah buku dengan tajuk serta kupasan yang sangat berakademik dan terlalu berat untuk dibaca. Tidak dinafikan buku sebegini ditujukan kepada khalayak pembaca yang tertentu.

Namun itu tidak bermakna penerbitan buku akademik perlu bersifat akademik sepenuhnya. Barangkali penerbit di IPT boleh berkolaborasi dengan penulis kreatif dalam menjadikan buku akademik lebih komersial dengan sasaran pembaca yang lebih meluas

Blog at WordPress.com.