pLaNeT kUchiNg

July 12, 2009

100 HARI

Filed under: koleKSi keRatan aKhbaR — planetkuching @ 3:55 am

Transformasi 100 hari Najib

 

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my

 

SUDAH menjadi kelaziman, setiap kali berlakunya peralihan tampuk pemerintahan di mana-mana negara sekali pun, 100 hari pertama pemimpin baru disorot dengan penuh perhatian. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga tidak terkecuali.

Mengambil alih pemerintahan negara secara rasmi daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi sebaik mengangkat sumpah pada 3 April lalu, Najib melengkapkan perjalanan 100 hari beliau hari ini.

Logiknya, tidak banyak yang boleh diperkatakan dalam tempoh sesingkat itu. Apatah lagi untuk menyorot sumbangan dan perubahan dalam urusan pentadbiran sesebuah negara.

Namun 100 hari Najib adalah sesuatu yang menarik untuk diperhatikan memandangkan beliau mengambil tampuk pemerintahan ketika negara bergelut dengan asakan dalaman dan luaran.

Najib berdepan dengan senario politik domestik yang tidak menentu dan paling ketara krisis keyakinan serta kepercayaan yang parah terhadap BN.

Iklim ekonomi negara juga berada dalam keadaan tidak menentu kesan krisis kewangan global yang melanda sejak awal tahun lalu. Semua itu menjadi cabaran yang besar kepada Najib sepanjang 100 hari pentadbirannya.

Bagaimanapun, pengalaman selama kira-kira 32 tahun dalam pentadbiran negara ternyata mematangkan Najib.

Dengan meletakkan kepentingan rakyat dan negara paling hadapan, Najib membuktikan beliau seorang pemimpin yang berani menongkah arus.

Dalam memperlahankan suara-suara lantang segelintir pihak yang cuba membuat tuntutan di luar batasan, Najib melontarkan sebuah gagasan yang menepati definisi setiap rakyat Malaysia tanpa membezakan warna kulit, keturunan, agama dan latar belakang.

Gagasan Satu Malaysia adalah sebuah manifestasi yang unik kerana ia tidak memberi ruang kepada kecacatan matlamat dan objektif sesebuah kerajaan.

Gagasan Satu Malaysia juga menyediakan penyelesaian kepada isu dan masalah domestik terutama yang berkaitan dengan rakyat.

Meletakkan perkataan Rakyat Diutamakan sebelum Pencapaian Diutamakan, melambangkan fokus pentadbiran negara di bawah Najib.

Beliau sangat maklum bahawa perpaduan rakyat adalah kunci utama dalam mencapai kemajuan politik, ekonomi dan sosial lebih-lebih di negara dengan masyarakat berbilang bangsa seperti Malaysia.

Melihat gerak kerja jentera kerajaan Najib seperti bentuk sebuah piramid, pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Dungun, Terengganu, Asri Salleh menilai Perdana Menteri cuba merealisasikannya dengan agresif tetapi tersusun.

Menurut beliau, dari sudut pentadbiran, Najib bermula dengan tahap paling atas dalam pentadbiran iaitu di peringkat Menteri dan Kementerian masing-masing.

Penekanan terhadap keperluan dan kepentingan jemaah Kabinet untuk memenuhi tuntutan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) dan Bidang Keputusan Utama (KRA) secara jelas menunjukkan Najib mahu jenteranya benar-benar bekerja.

Soal perpaduan turut menjadi perhatian apabila Najib memperkenalkan beberapa langkah drastik tetapi populis.

Antaranya dengan menghapuskan dasar (PPSMI). Keputusan itu dilihat sebagai langkah mendengar keluhan rakyat apabila dasar yang diamalkan sejak 2003 itu mendapat reaksi negatif daripada banyak pihak.

Selain itu, dalam memenuhi keperluan tajaan pendidikan untuk pelajar cemerlang daripada semua kaum, Najib melancarkan Biasiswa Nasional.

”Dalam isu ini, Najib mengguna pakai dasar pembesaran saiz biasiswa negara yang mana tambahan biasiswa diwujudkan tanpa menghapuskan kategori biasiswa sedia ada,” ujar Asri.

Blog peribadi dan Bank Idea Rakyat yang dilancarkan Najib juga dilihat sebagai salah satu pembaharuan pentadbiran Najib dalam mendekati generasi muda.

Najib juga mengambil pendekatan turun padang dalam mendalami masalah serta keperluan rakyat secara lebih dekat.

Walaupun langkah ini bukanlah sesuatu yang baru, namun ia meninggalkan kesan psikologi yang mendalam di kalangan rakyat terhadap corak kepimpinan sebenar Najib.

100 hari pentadbiran Najib turut menyaksikan pembaharuan dan transformasi parti Barisan Nasional khususnya UMNO dan iklim politik negara.

Melalui transformasi parti, Najib memperkenalkan beberapa langkah holistik untuk menjamin ketelusan dan membasmi gejala rasuah.

Antaranya dengan memperkenalkan draf cadangan konsep pemilihan dan pindaan perlembagaan UMNO.

Turut dicadangkan ialah penggantian sistem kuota dengan kriteria calon dan usul membenarkan 2.3 juta ahli UMNO memilih Ahli Majlis Tertinggi secara langsung.

Dalam transformasi politik negara pula, Asri menyorot pendekatan mesra yang diamalkan Najib terhadap parti pembangkang.

Menurut beliau, matlamat Najib menerusi pendekatan itu dapat dilihat bertujuan melahirkan satu iklim politik bipartisan yang matang.

Walaupun ia tidak mungkin dapat bertahan lama, Najib sekurang-kurangnya memperlihatkan imej yang tidak jumud.

Ia juga mungkin boleh membawa kepada permulaan sama ada positif atau negatif kepada BN khususnya UMNO pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

”Saya kira ia juga dapat membantu menenangkan hati dan perasaan rakyat bahawa politik di negara ini adalah sesuatu yang sangat stabil dan selamat,” ujar beliau.

Dari sudut ekonomi pula, dasar-dasar liberalisasi ekonomi yang diperkenalkan sepanjang 100 hari pentadbiran Najib dapat dilihat menjurus ke arah usaha membina sebuah model ekonomi baru.

Ia antara lain bertujuan memenuhi dua keperluan asas masyarakat ekonomi iaitu ahli perniagaan, pelabur, pekerja dan semestinya rakyat kebanyakan.

Dua dasar itu ialah keperluan dari sudut psikologi serta material ekonomi. Menjelaskan lebih lanjut, Asri berkata, keperluan psikologi ekonomi itu dicapai melalui faktor kestabilan dasar.

Ia merupakan faktor penyumbang yang menjadi perhatian utama komuniti perniagaan tempatan dan antarabangsa.

Pentadbiran Najib tampak rensponsif dengan keperluan psikologi ekonomi negara apabila tidak memperkenalkan perubahan drastik terutama dalam jentera pentadbiran kewangan negara.

”Sebagai contoh pengekalan Tan Sri Mohamad Nor Yaakop sebagai Menteri Kewangan Kedua sebenarnya amat penting dalam memenuhi keperluan psikologi kestabilan dasar ini,” ujar beliau.

Dari sudut keperluan material ekonomi pula, Najib sepanjang 100 hari pentadbirannya telah memperkenalkan beberapa instrumen fiskal dan melancarkan polisi ekonomi negara yang menarik.

Antaranya menerusi penubuhan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas), transformasi berterusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pengurangan bidang kuasa Pelaburan Asing (FIC).

Pengenalan model ekonomi baru ini antara lain bertujuan menarik dan menjana pelaburan luar terutama dari China dan negara-negara Timur Tengah.

Ia juga memberi peluang kepada ahli perniagaan tempatan merebut peluang ekonomi yang bebas dan terbuka luas.

Asri menambah, suntikan kepada ekonomi itu juga dapat meningkatkan daya saing komuniti perniagaan bumiputera untuk menjadi lebih kompetitif dan lebih berdaya saing.

Ia juga merupakan persediaan kepada komuniti ekonomi tempatan sementelah ASEAN juga akan mula mengamalkan liberalisasi ekonomi ASEAN-6 sepenuhnya pada tahun depan.

Namun sesuatu yang pasti tambah Asri, transformasi ekonomi yang diperkenalkan Najib itu bertujuan mempersiapkan negara untuk berdepan dengan cabaran globalisasi dan keterbukaan ekonomi pada masa depan.

”Paling utama, Najib sebenarnya mengamalkan pendekatan ekonomi yang memperbesarkan lagi saiz kek ekonomi negara untuk dikongsi secara saksama oleh semua kaum,” ujar beliau.

Rangkuman serba ringkas dasar-dasar dan pendekatan yang diperkenalkan Najib sepanjang 100 hari pentadbiran beliau itu secara tidak langsung memberi gambaran hala tuju pentadbiran beliau pada masa depan.

Selepas meletakkan kepentingan kepada isu-isu domestik seperti ekonomi, pentadbiran dan pendidikan, dasar-dasar baru dalam hari-hari mendatang adalah sesuatu yang menarik untuk dijangkakan.

Bagi Asri, antara yang perlu diberi perhatian oleh Najib ialah aspek perhubungan antarabangsa. Tidak dinafikan Najib mengambil langkah pantas apabila membuat lawatan rasmi ke negara jiran Indonesia serta negara yang pesat membangun, China.

Namun, lawatan itu dilihat tidak memadai dalam konteks memperkenalkan Malaysia sebagai sebuah negara berpengaruh dalam peta dunia.

Kerana itu juga Asri melihat, Najib perlu menyatakan pendirian yang lebih jelas dalam beberapa isu rutin antarabangsa.

Antaranya dalam konflik di Palestin, senjata nuklear Korea Utara dan isu Myanmar yang harus diterjemahkan atau diberi nafas baru oleh Najib.

Lawatan ke negara-negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Eropah Barat juga perlu diberi perhatian utama.

”Najib harus mula melangkah ke ‘luar’ dengan kekerapan yang lebih daripada sekarang. Ini penting untuk memastikan Malaysia kekal dalam radar global dan dihormati masyarakat antarabangsa,” ujar Asri.

DIPETIK DARI UTUSAN MALAYSIA 11 JULAI 2009 OLEH Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my

Leave a Comment »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: